15 Minit Bayi 14 Bulan Bertarung Nyawa





Kampar: Seorang wanita cemas selepas anak perempuannya berusia 14 bulan terperangkap di dalam kereta selama setengah jam di kediaman mereka di Persiaran Jaya 3, Taman Temoh Jaya, di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, Nur Damia Fazley dikatakan keluar dari rumah dan masuk ke dalam kereta melalui pintu sebelah pemandu dibiarkan terbuka tanpa disedari ibunya yang menjemur pakaian.


Nurhayati Munadi, 36, berkata, selepas dia memanaskan enjin kereta untuk mengambil anak keduanya di Pusat Latihan Giat MARA, dia menjemur pakaian di halaman rumah untuk beberapa minit tiba-tiba terdengar bunyi pintu kereta tertutup.


“Selepas melihat ke dalam kereta saya mendapati anak saya terperangkap dalam keadaan pintu kereta terkunci. Saya cemas kerana enjin kereta masih hidup dan tingkap kereta tertutup rapat.


“Saya cuba mengajar anak saya membuka kunci pintu, tetapi gagal. Kemudian dia menangis kerana kepanasan di dalam kereta sebelum saya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Katanya, dia bersyukur anaknya selamat dan kejadian itu menjadi pengajaran buatnya untuk sentiasa memantau pergerakan anaknya serta mengawal persekitaran yang boleh menyebabkan kanak-kanak berada di tempat tidak sepatutnya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar Yamin Naib berkata, anggotanya menerima panggilan kecemasan jam 9.39 pagi lalu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kanak-kanak terperangkap di dalam Proton Iswara.


Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa didapati berjalan masuk ke dalam kereta melalui pintu sebelah pemandu yang dibiarkan terbuka lalu mengunci dan menutup rapat pintu berkenaan.

“Anggota bertindak mengumpil pintu hadapan sebelah pemandu untuk menarik pin keselamatan pintu berkenaan dengan menggunakan pemutar skru tanpa merosakkan atau memecahkan cermin pintu kereta berkenaan,” katanya.


Menurutnya, mangsa dikeluarkan daripada kereta dalam keadaan menangis dan berpeluh kepanasan. Operasi menyelamat mengambil masa 15 minit.